LAMAN FACEBOOK

LAMAN FACEBOOK

Monday, July 1, 2013

DEMAM PEMILIHAN PARTI


DEMAM pemilihan semakin menarik perhatian terutama yang melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA, MIC dan Gerakan. Kecuali MIC, pemilihan parti komponen lain akan berlangsung selewat-lewatnya hujung tahun ini. Terdapat juga desakan supaya MIC turut ‘menyelesaikan’ pemilihan pada tahun ini. Mungkin ini satu cadangan yang baik, kerana parti komponen memerlukan satu barisan kepemimpinan yang mantap untuk meneruskan perjuangan parti dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) berikutnya. Masa semakin singkat. Empat tahun bukanlah satu jangka masa yang panjang bagi parti-parti politik membina keyakinan baru untuk rakyat menyokong mereka pada PRU. Eloklah pada pemilihan kali ini, parti-parti komponen turut membuat penilaian dan melakukan tindakan susulan berdasarkan pencapaian parti pada PRU 5 Mei lalu. MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi. Gerakan menang satu daripada 11 kerusi Parlimen dan tiga daripada 31 kerusi DUN sementara MIC menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi DUN.

Berdasarkan pencapaian ini, Gerakan dan MCA perlu bekerja lebih keras untuk meneruskan survival parti serta memastikan ia terus relevan. Kedua-dua parti komponen itu tidak boleh ‘cuci tangan’ dengan prestasi yang merudum. Tidak dinafikan, transformasi perlu dilakukan oleh parti-parti berkenaan tetapi perlukah diwujudkan hanya parti tunggal yang menggabungkan semua komponen BN? Gerakan sendiri sudah merupakan ‘parti pelbagai kaum’, sama seperti PKR dan DAP. MCA pula mewakili masyarakat Cina dan UMNO Melayu serta bumiputera. Di bawah lambang BN, parti komponen itu menjadi satu apabila bertanding pada PRU berbanding PKR, Pas, DAP yang menggunakan lambang parti masing-masing di kertas undi. Adakah nasib parti komponen akan berubah jika masing-masing menggunakan lambang sendiri pada PRU? Apakah tidak timbul masalah apabila semuanya menjadi satu? Mungkin MCA, Gerakan tidak terasa kehilangan parti itu tetapi apa pula nasib UMNO? Mungkinkah ini peluang `menamatkan riwayat’ UMNO?

Gerakan dan MCA perlu melihat di manakah kelemahan sendiri ketika UMNO masih diterima baik oleh pengundi-pengundi Melayu sementara MIC pula mendapatkan kembali sokongan masyarakat India berbanding PRU 2008. Maka pemilihan yang melibatkan parti komponen kali ini bukan sekadar memilih pemimpin - mengganti yang lama atau mengekalkan yang ada - sebaliknya memilih pemimpin yang dapat bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menjadikan BN terus relevan. Bukan sekadar meriah pada hari pemilihan tetapi selepas itu, kerja dan tanggungjawab tidak sehebat yang diharapkan.

MCA dan Gerakan perlu mencari presiden baru berikutan hasrat Dr. Chua Soi Lek yang mahu berundur menjelang akhir tahun ini. Jawatan Presiden Gerakan pula kini dipangku oleh Chang Ko Youn berikutan peletakan jawatan Dr. Koh Tsu Koon pada 16 Mei lalu. Soi Lek dan Tsu Koon tidak bertanding pada PRU lalu. Pemiihan MCA akan bermula 15 Julai ini di peringkat cawangan diikuti bahagian, negeri dan berakhir dengan pemilihan di peringkat pusat pada 21 Disember.

Gerakan pula akan mengadakan pemilihan di peringkat cawangan pada bulan ini diikuti bahagian dan negeri mulai Ogos hingga September sebelum pemilihan di- peringkat pusat pada bulan Oktober. Kedua-dua pemilihan parti MCA dan Gerakan ini amat penting sebagai persiapan barisan kepemimpinan baru bersama memimpin BN menghadapi PRU akan datang. Presiden baru nanti hendaklah benar-benar dapat diterima bukan sekadar oleh ahli-ahli tetapi rakan-rakan komponen BN.

Di kem MIC pula, khabarnya sudah ada suara-suara yang mahu mencabar Presiden, G. Palanivel dan Timbalannya, S.Subramaniam. Sejauh mana kebenaran itu masih belum pasti. Bagaimanapun sudah ada penafian mengenainya. Masih terlalu awal untuk membuat andaian. Jika diselak kembali sejarah MIC, pertembungan bagi jawatan utama boleh dibilang dengan jari ketika era S.Samy Vellu sebagai Presiden. Pertandingan yang betul-betul melibatkan tokoh utama parti pula hanyalah ketika pertembungan Samy Vellu dengan timbalannya S.Subramaniam pada tahun 1989. Selepas itu, Samy Vellu mengukuhkan kedudukan. Kali terakhir perebutan jawatan No. 1 parti itu berlaku pada tahun 1993 apabila Samy Vellu dicabar oleh S.Subramaniam atau lebih dikenali sebagai ‘Jumbo Maniam’. Samy Vellu menang.

Persoalannya, perlukah MIC melakukan perubahan kepemimpinan sekarang? Palanivel menerima jawatan Presiden pada Disember 2010 selepas Samy Vellu yang menang tanpa bertanding pada 2009 meletak jawatan. Tempoh jawatan itu sepatutnya berakhir pada 2012 dan disebabkan tumpuan kepada PRU, pemilihan terpaksa ditangguhkan. Dan inilah kali pertama Palanivel akan berhadapan dengan pemilihan parti selepas era Samy Vellu. Jika berlaku sebarang pertandingan, MIC perlu memastikan ia tidak menjejaskan perpaduan dalam usaha mengukuhkan kedudukan parti India terbesar itu. Pada masa yang sama, bersediakah MIC menerima parti-parti lain yang melibatkan masyarakat India untuk menjadi sebuah parti besar mewakili masyarakat India?

Turut menarik perhatian tentulah UMNO. Setelah lama tertangguh, pemilihan yang bakal berlangsung akhir tahun ini agak luar biasa dan merupakan satu sejarah kerana akan melibatkan 146,500 perwakilan daripada 161 bahagian. Jumlah ini meningkat berbanding 2,500 perwakilan yang menentukan pucuk pimpinan parti sebelum ini.

Pertambahan itu berikutan Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Oktober 2009 yang meluluskan pindaan perlembagaan tujuh perkara termasuk menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan wanita.
Ketika ini, ada pandangan supaya jawatan No. 1 dan No. 2 tidak ditandingi tetapi ada juga yang mahu jawatan itu dibuka untuk dipertandingkan. Turut menarik perhatian ialah cadangan supaya sistem kuota pencalonan diperkenalkan semula. Langkah ini bagi memastikan calon yang menawarkan diri benar-benar mempunyai kredibiliti.

Sama ada berlaku pertandingan atau tidak bagi dua jawatan utama dalam parti, semuanya terserah kepada anggota parti. Mereka lebih berhak menentukan. Apa yang penting ialah sebarang pertandingan tidak mencetuskan perpecahan dan keghairahan merebut jawatan. Biarlah pertandingan pada kali ini sama ada melibatkan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC benar-benar dapat mengukuhkan kedudukan bukannya merosakkan parti. Perbalahan akibat perebutan jawatan perlu dielakkan kerana di hadapan, masih ada cabaran yang lebih besar.

Wednesday, June 27, 2012

SIAPAPUN CALON KITA TETAP BN

ADAKAH nama anda telah disenaraikan oleh parti di peringkat bahagian sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13? Jika ada baguslah. Tidak ada pun tidak apa kerana senarai itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Perubahan boleh berlaku pada saat-saat akhir. Apa yang lebih penting sekarang ialah bekerja untuk kemenangan. Inilah yang sedang dilakukan oleh parti politik menjelang PRU yang semakin hampir. Masing-masing mahu memikat pengundi. Mereka sudah menyediakan senarai calon walaupun ada yang masih berbalah mengenai pembahagian kerusi. Di sesetengah kawasan, sedang berlaku ‘perang’ bendera parti. Suasana ini agak berbeza. Dulu yang paling awal pasang bendera atau bendera sentiasa berkibar adalah Pas tidak kira masa sama ada musim pilihan raya atau sebaliknya. Tetapi hari ini bendera BN pun sudah berkibaran. Keadaan ini boleh dilihat di beberapa kawasan di Kelantan. Apa pun, kali ini bajet bendera BN sudah turun ke bawah lebih awal.

Berkaitan dengan calon UMNO, ibu pejabat parti itu sudah menerima semua senarai nama calon yang berpotensi. Senarai nama itu diterima dari bahagian-bahagian parti secara berperingkat sehingga tarikh akhir penyerahan pada 2 April lalu. Kaedah yang digunakan ialah setiap bahagian menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menamakan calon-calon yang difikirkan layak atau calon boleh menang. Bagi setiap kerusi sama ada bagi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), tiga nama akan disenaraikan. Itulah kebiasaannya. Kalau hantar ramai pun susah juga. Tetapi ada juga yang khabarnya ‘tidak tahu’ buat pilihan kerana serba salah, bimbang ada yang berkecil hati jika tidak disenaraikan. Maka semua ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu disenaraikan, bermula dari Pengerusi Tetap sehinggalah Pemeriksa Kira-Kira. Bertambah pening pemimpin nak buat pilihan.

Bagi yang sudah tahu namanya dicalonkan, eloklah tonjolkan diri bertemu rakyat di kawasan. Mana tahu jika akhirnya terpilih, lebih mudah meneruskan kerja. Tetapi bagaimana pula jika tidak terpilih? Ini akan menjadi masalah lebih-lebih lagi bagi yang bercita-cita tinggi untuk menjadi wakil rakyat. Silap haribulan boleh jadi ‘sasau’ atau keluar parti atau melencong menjelang PRU. Inilah penyakit yang ditakuti parti. Maka bagi yang disenaraikan sebagai calon, teruskan kerja seperti biasa. Terpilih atau tidak bukan isu utama. Apa yang penting calon pilihan itu boleh menang.

Ketika ini, satu persatu isu dibangkitkan bagi menimbulkan keresahan atau kemarahan rakyat. Sekali pandang isu-isu ini bukanlah tidak ada jalan penyelesaiannya tetapi ‘permainan’ pembangkang ini nampak lebih hebat. Kerajaan BN boleh menerangkan isu-isu berkaitan Felda, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan macam-macam lagi, tetapi kadangkala orang yang mendengar lebih yakin dan percaya kepada persepsi berbanding kebenaran. Begitulah mereka begitu mudah mempengaruhi pemikiran rakyat. Satu lagi kehebatan pakatan 3P (DAP, PAS, PKR) yang tidak boleh ditandingi BN atau mana-mana NGO ialah keupayaannya menggerakkan demonstrasi jalanan atau protes bagi ‘mencabar’ BN dalam pelbagai isu. Mungkin BN juga perlu lebih agresif tetapi adalah lebih berbahaya jika BN pun mengambil tindakan yang sama menyebabkan satu pertembungan yang tidak sihat dalam dunia politik negara ini.

Mungkin atas faktor itulah, BN lebih ‘berdisiplin’ atau berhemah untuk menyatakan sesuatu supaya tidak terjadi gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah. Satu lagi kelebihan 3P ialah sering menyalahkan kerajaan BN atau parti politik BN apabila sesuatu itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Mereka juga lebih gemar membisu seribu bahasa dan memekakkan telinga terhadap pelbagai desakan yang dibuat.

Di pihak BN, mereka bertindak untuk mempertahankan kuasa yang ada sambil memastikan negara akan terus dalam keadaan stabil dan mampu menjaga kepentingan rakyat untuk jangka masa panjang. Manakala di satu pihak lagi, mereka inginkan kuasa. Dan dalam usaha mendapatkan kuasa, mereka bersedia melakukan apa sahaja. Dalam keadaan terdesak selepas diasak, mereka sanggup ‘membakar kelambu kerana marahkan nyamuk’. Bagi mereka genggam bara api biar sampai jadi arang atau alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Bagaimanapun lebih malang lagi, ada pula yang bersedia menang sorak kampung tergadai. Inilah cabaran yang perlu dihadapi BN.

Pastinya BN tidak mampu menjanjikan sesuatu yang luar biasa kepada rakyat kerana ia tidak mampu dilaksanakan tetapi bagi yang belum mendapat kuasa, mereka pasti menjanjikan ‘bulan dan bintang’ walaupun hakikatnya ia bagaikan janji ‘saudagar air liur’.

Friday, June 22, 2012

TRANSFORMASI DAN STRATEGI

TRANSFORMASI secara umumnya bererti berhijrah dari satu yang baik kepada yang lebih baik. Daripada dasar yang ada sekarang, diperkemaskan kepada yang lebih sempurna bagi mengejar sesuatu sasaran dan matlamat. Sasaran dan matlamat Malaysia, di bawah Perdana Menteri Najib Tun Razak ialah melakukan program transformasi untuk menuju ke arah Wawasan 2020. Kita ada lapan tahun lagi untuk menjadi sebuah negara maju. Meletakkan sasaran 2020 itu merupakan strategi yang cukup sempurna. Ia adalah satu wawasan terbaik yang diasaskan oleh negara ini. Tapi bukan mudah untuk mencapainya. Untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya harus mengambil kira pelbagai aspek - kestabilan ekonomi, sosial, politik, kebudayaan dan yang paling penting ialah minda kita.

Minda bererti pemikiran, sikap, tingkah laku, kesopanan, kesusilaan, etika, adap dan lain-lain. Ia juga bererti kita harus berfikir dengan baik dan matang. Cara berfikir rakyat Singapura berbeza dengan Malaysia. Cara berfikir pegawai-pegawai kerajaannya berbeza dengan kita. Strategi strategiknya berbeza dengan kita.

Singapura ialah sebuah negara maju. Sesebuah negara maju biasanya sistemnya telah stabil. Pemikiran rakyatnya bergerak seiring dengan kestabilan sistem itu. Tujuan saya mengambil contoh republik itu adalah kerana ia sebuah negara maju yang paling hampir dengan kita. Pemikirannya bergerak ke hadapan, bukan sebaliknya. Pemikirannya dicabar supaya berfikir ke hadapan secara kritis dan kreatif. Pemikirannya dicabar supaya melakukan eksplorasi dan penerokaan-penerokaan baru. Eksplorasi minda harus bergerak seiring dengan transformasi minda. Berani saya katakan itulah yang dilakukan oleh pihak pembangkang, yang tidak dilakukan oleh pihak sebelah sini.

Peperangan politik juga melibatkan transformasi dan eksplorasi minda. Bukan statik. Bukan kaku. Bukan hanya bertahan, tapi menyerang. Para pegawai strategik kerajaan, ahli-ahli politik kerajaan harus mempunyai minda sebegini. Pemikiran yang strategis yang mampu menganalisis isu, mengintepretasi serta menyerang. Bukan hanya mempertahankan atau menjelaskan isu-isu yang ditembak oleh pihak musuh. Dalam peperangan politik atau dalam permainan sukan sekali pun, terlalu kerap bertahan atau mengalah akan membawa padah.

Saya sedih apabila melihat kita terlalu banyak bertahan daripada menyerang. Apakah kita sudah keletihan minda dan miskin idea, sedangkan kita berada di pihak yang sepatutnya menang? Sebagai orang kecil saya memerhati perkembangan ini sedang berlaku. Semua kenyataan yang tersiar di media tradisional atau baru lebih kepada mempertahankan diri. Jarang-jarang kelihatan satu terjahan membunuh terhadap lawan.

Semua pihak kelihatan syok sendiri membuat kenyataan itu dan ini. Terlalu banyak pihak termasuk NGO-NGO yang sekadar mahu suara dan muka mereka kelihatan dalam media. Sebenarnya, terlalu banyak kelemahan dan kesilapan serta kemudaratan yang dilakukan pihak pembangkang di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan yang tidak cukup didedahkan.

Kerja kita setiap hari ialah mempertahankan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak sebelah sana. Kita harus mula menyerang dari sekarang. Menanam keyakinan orang terhadap sesuatu isu mengambil masa. Jika tidak dimulakan sekarang, mungkin ia sudah terlambat.  Kita tidak boleh lagi membenarkan rakyat kita yakin terhadap tuduhan pembangkang melebihi daripada kebenaran, sehinggakan soal benar atau tidak bukan lagi menjadi persoalan. Kita tidak boleh lagi membenarkan pemikiran rakyat yakin bahawa harga minyak akan diturunkan dalam tempoh 24 jam selepas mereka memerintah, walaupun kita tahu kenyataan itu merupakan satu pembohongan. Kita amat-amat bimbang jika rakyat akan yakin terhadap kenyataan itu, melebihi daripada kebenaran.

Oleh itu, dalam peperangan politik yang akan berlangsung ini, kita harus bijak merangka perang saraf. Jika pembangkang menggunakan tipu muslihat, kita guna pendekatan yang lebih profesional. Setelah memerintah selama 55 tahun, semua kebaikan ada di hadapan kita. Mereka tiada.  Saya ulang, jangan biarkan rakyat menerima keyakinan sebagai kebenaran, walaupun ia satu pembohongan.

Tindakan Amerika Syarikat, misalnya mengumumkan untuk meletakkan armada laut serta logistiknya di rantau ini telah mempengaruhi emosi China. China sudah menarik kening, melihatkan pergerakan itu, walaupun Amerika tidak bermaksud mahu berperang. Ternyata Amerika berfikiran ke hadapan.  Kita sepatutnya sudah bersedia untuk menyerang dan bersiap siaga menerima serangan balas yang sudah dirancang. Serangan balas itu sepatutnya ialah satu pukulan maut.

Saya pasti kita ada strategi itu.

Wednesday, September 16, 2009

HEBATKAH ANWAR

TIBA-TIBA suhu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) naik mendadak menjelang perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2 Januari lalu. Semua usaha digerakkan. Selain Anwar melancarkan siri jelajah atau road show untuk pertahankan dirinya, penerbitan akhbar dan laman web parti berkenaan menyeru agar rakyat bangkit. Laporan utama di muka hadapan penerbitan rasmi parti itu bertajuk, Selamatkan Malaysia selain tulisan peguam bela Anwar, S. Sivarasa (Ahli Parlimen PKR) yang kononnya membuktikan beliau tidak bersalah. Seperti yang sudah dijangka, strategi Anwar ialah membakar sentimen rakyat.

Seingat saya, tiada mana-mana personaliti dan tokoh dalam dunia yang mengadakan road show apabila mahu dihadapkan ke mahkamah. Tetapi Anwar unik. Beliau tetap mahu mengheret rakyat dalam kes moralnya dan mengaitkan segala-galanya sebagai konspirasi. Keghairahan Anwar mengadakan perbicaraan di luar mahkamah untuk memberikan perspektif keadilannya, adalah tidak wajar. Mengapa perlu gundah dan takut jika yakin di pihak yang benar?

Anwar adalah pemimpin sebuah parti menggunakan nama keadilan rakyat tetapi ternyata beliau hanya memikirkan keadilan untuk dirinya dan bukan untuk Saiful. Apakah kerana Saiful rakyat kecil, hak keadilan untuk beliau boleh dinafikan begitu sahaja. Berdasarkan maklum balas yang diterima, sambutan terhadap road show tersebut tidaklah seberapa. Sentimen sudah berubah. Ramai penyokong Pas tidak lagi teruja dengan pemimpin PKR itu sebagaimana kes liwat pertamanya, sebelum ini. Sesi penjelasan Anwar bagi sebahagian yang hadir, kurang terkesan di hati mereka. Tetapi road show itu juga bertujuan membina momentum bagi menarik kehadiran ramai pada hari perbicaraan nanti, yang beliau sedia untuk melambaikan tangan kepada mereka. 

Saya tidak kisah sama ada nanti Anwar menang atau kalah dalam perbicaraan, biarlah mahkamah menentukan. Yang penting ialah keberanian menghadapi kes itu dengan jiwa besar. Kalau Saiful boleh menampakkan ketenangannya, mengapa tidak Anwar. Lebih menimbulkan persoalan mengapa beliau mahu menangguh-nangguhkan kes tersebut atas pelbagai alasan sehingga tidak boleh diterima dek akal? Akibatnya ada golongan pada awalnya menyokong beliau, kini turut ragu-ragu.

Dalam perkembangan terbaru, Anwar sudahpun mengemukakan 13 saksi alibi termasuk isterinya, Dr. Wan Azizah Ismail. Berikutan itu, polis telah mengambil keterangan Wan Azizah bagi kali kedua, baru-baru ini yang mencetuskan rasa tidak puas hati di pihak Anwar kerana polis pernah berbuat demikian dua tahun lalu. (Tanpa disedari kes Anwar ini sudah memakan masa begitu lama sejak aduan polis dibuat tetapi belum dapat dibicarakan). Polis dalam kenyataannya menjelaskan, keterangan kali kedua terpaksa diambil kerana Sivarasa dalam laporan media, tidak ingat sama ada Wan Azizah telah dikemukakan sebagai saksi oleh pihaknya atau tidak. Dengan adanya saksi alibi, Awang tidak nampak mengapa Anwar perlu mencari jalan untuk menangguhkan lagi perbicaraan. Tiada alasan lagi. 

Memandangkan Anwar sentiasa mempolitikkan kes berkaitan isu moralnya ini, ia secara tidak langsung mengundang persepsi negatif terhadap beliau. Bahkan, semakin ramai melihat Anwar telah mempertaruhkan agama dan bangsa bagi menjayakan percaturan politiknya, yang keuntungan dinikmati oleh bukan Islam. Pendirian beliau dalam banyak isu kritikal seperti membenarkan Chin Peng pulang, menyokong agenda DAP menuntut hak kesamarataan, menolak semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi gereja Katholik, ternyata bermotif politik. Bahkan, sudah ada gerakan secara senyap-senyap melakukan sembahyang hajat dan mendoakan agar Malaysia diselamatkan daripada orang bernama Anwar Ibrahim.

RAMAIKAH MELAYU SOKONG DAP

Benarkah makin ramai Melayu menyokong DAP? Itulah yang digembar-gemburkan oleh para pemimpin DAP dalam ceramah, perhimpunan mahupun menerusi media kebelakangan ini. Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang menyaksikan parti itu menang banyak kerusi, dijadikan modal pukal bahawa semua kaum termasuk Melayu memihak kepada DAP. 

Berdasarkan maklum balas yang terima selain pemerhatian menerusi banyak blog, apa yang didakwa oleh DAP tidak benar malah makin ramai orang Melayu menolak parti berkenaan. Saya turut menerima limpahan emel yang marahkan DAP sejak beberapa bulan lalu berikutan banyak isu termasuk penghinaan terhadap raja Melayu dan usaha membawa pemimpin PKM, Chin Peng pulang. Anehnya para pemimpin DAP menggambarkan parti itu menerima sokongan secara langsung yang meluas daripada masyarakat Melayu sedangkan hakikatnya cukup berlainan. Kejayaan DAP mendapat banyak undi Melayu pada PRU ke-12 adalah atas sokongan para penyokong Pas selain sebahagian lagi penyokong PKR. Jika tidak kerana faktor Pas, DAP tidak akan mendapat sokongan Melayu yang signifikan.

Sesungguhnya masyarakat Melayu masih menghindari DAP apatah lagi dalam senario pasca PRU ke-12. DAP menjadi lebih rasis dan semakin agresif dalam gerak tindak mereka untuk menulis semula Perlembagaan negara. Yang tersirat, hala tuju parti itu adalah bagi menubuhkan negara republik - tanpa raja, tanpa mengambil kira sejarah bahawa Melayu sebagai kaum teras dan tanpa Islam sebagai agama rasmi. Jadi apa muslihat DAP? ia tidak lain bagi mengelirukan orang Melayu dengan memanipulasi sokongan secara tidak langsung yang diterima daripada penyokong Pas dan PKR atas tiket pakatan pembangkang.

DAP terpaksa menjaja gambaran palsu itu untuk terus memastikan sokongan Melayu bertahan jika tidak pun meningkat. Dengan banyak perkembangan politik yang tidak memihak kepada pembangkang, parti itu bimbang Pas dan DAP gagal menarik sokongan pengundi Melayu pada PRU ke-13 nanti. Perpecahan dalam Pas dan banyak kepincangan PKR termasuk kemerosotan sokongan terhadap Anwar Ibrahim yang menjadi taruhan DAP, adalah petanda jelas.

Perkembangan dalam Pas turut berubah. Parti itu tidak lagi bulat menyokong Anwar, berbeza dengan senario PRU ke-12. Begitu juga sentimen terhadap DAP di kalangan ahli akar umbi Pas, yang kini lebih diwarnai negatif. Jadi tidak hairan mengapa DAP makin agresif melaksanakan usahanya menarik sendiri sokongan Melayu termasuk melalui program outreach dan penubuhan cawangan khas Melayu terutama di Perak dan Selangor. Selain itu, sudah lama diketahui DAP melantik seorang dua Melayu menduduki jawatan kanan tetapi mereka tiada pengaruh dan jadi pak turut. Semua orang tahu DAP mendabik dada sebagai parti semua kaum sedangkan realitinya ia dikuasai oleh orang Cina dan memperjuangkan kepentingan kaum itu.

Strategi terbaru ini menampakkan parti itu sendiri tidak percaya dengan kemampuan Pas dan PKR untuk memenangi hati bukan Melayu pada PRU ke-13 nanti. DAP turut khuatir Pas akan beralih arah dengan mengambil pendirian yang lebih mesra UMNO atas nama perpaduan umat Islam. Segala-galanya boleh berlaku. Sekarang ini pun ramai orang Islam sedar, kedudukan Islam semakin kritikal disebabkan perpecahan dan percaturan politik yang silap. Dengan kata lain, DAP tidak boleh mengharapkan Pas dan PKR selama-lamanya. Selain itu, tujuan DAP menambah ahli Melayu juga kerana menyedari UMNO terus mendapat sokongan kuat orang Melayu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Maka tidak hairan DAP semakin terdesak untuk menjenamakan semula parti itu termasuk menerusi gagasan terbaru Middle Malaysia. Ia kononnya bersifat merangkumi berbanding konfrontasi dan menjadi milik setiap rakyat terutama generasi muda.

Ramai yang memberi reaksi terutama dalam blog. Ada yang menyatakan Middle Malaysia mempunyai agenda rasis. Menurut satu tulisan: "Sekiranya diterjemahkan Middle Malaysia ke dalam bahasa Mandarin, ia membawa maksud tersirat 'Malaysia untuk kaum Cina'. Ini boleh ditafsirkan kaum Cina mahu menjadi 'tauke Malaysia' kerana Chung adalah sinonim dengan 'Penguasa Cina' di Malaysia." Saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Namun tanpa hujah seperti itu pun, Saya memang tidak mempercayai DAP. Jika DAP benar-benar menjadi parti untuk semua kaum, Saya tidak akan mempersoalkannya tetapi itu semua hanya pembohongan dan tipu daya. Banyak tindak tanduk parti itu membahayakan asas kenegaraan kita, ia umpama musuh dalam selimut.

Tindak-tanduk DAP menyerang secara konsisten agensi awam di bawah kepimpinan Melayu seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), institusi perundangan Islam dan banyak lagi, menyerlahkan lagi belang parti itu. Sikap keterlaluan DAP memanipulasi isu yang membakar sentimen bukan Melayu juga tidak boleh diterima. Lihat sahaja isu kematian Teoh Beng Hock, penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja Katholik dan kejadian gereja dibakar, amat tidak bertanggungjawab.

Pada Saya, DAP adalah parti paling ekstrem, yang berselindung di sebalik nama demokratik tetapi agendanya ultra Cina. Selagi parti itu tidak komited untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan negara, selagi itu saya tidak akan terpengaruh biarpun pemimpinnya memetik ayat al-Quran dan hadis. Biarlah Melayu yang tidak sedar diri dan yang punya agenda peribadi dipergunakan oleh DAP. Saya bukan jenis itu.

ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

Bersama En Anua Yusoff

Bersama En Anua Yusoff

Bersama Panel Hakim ADC 2013

Bersama Panel Hakim ADC 2013

Bersama Urusetia ADC Kelantan

Bersama Urusetia ADC Kelantan

Sebagai Pengacara Majlis Perasmian PPR

Sebagai Pengacara Majlis Perasmian PPR

BERSAMA DATO' SHAHRIR SAMAD

BERSAMA DATO' SHAHRIR SAMAD

BERSAMA YB DAN RAKAN DI BUKIT JALIL

BERSAMA YB DAN RAKAN DI BUKIT JALIL

DIPESISIRAN SUNGAI SARAWAK 2011

DIPESISIRAN SUNGAI SARAWAK 2011

BERSAMA RAKAN DIRUMAH PENGINAPAN KUCHING, SARAWAK

BERSAMA RAKAN DIRUMAH PENGINAPAN KUCHING, SARAWAK

PRK KERDAU BERSAMA YB GALAS

PRK KERDAU BERSAMA YB GALAS

BERSAMA SUK BADAN PERHUBUNGAN

BERSAMA SUK BADAN PERHUBUNGAN

BERSAMA BEKAS TIMB KETUA MENTERI PULAU PINANG

BERSAMA BEKAS TIMB KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI HOTEL MARIOT, PUTRA JAYA

DI HOTEL MARIOT, PUTRA JAYA

BERSAMA DATO RAMZI ABDUL RAHMAN

BERSAMA DATO RAMZI ABDUL RAHMAN

BERSAMA DATO SAHANIZA SAMSUDDIN

BERSAMA DATO SAHANIZA SAMSUDDIN

BERSAMA UNIT BERITA TV3

BERSAMA UNIT BERITA TV3

BERSAMA YB DAN RAKAN RAKAN

BERSAMA YB DAN RAKAN RAKAN

LAWATAN TV HIJRAH KE RUMAH KU

LAWATAN TV HIJRAH KE RUMAH KU

BERSAMA TG ISMAIL, PENERBIT RANCANGAN SOLEHAH, TV HIJRAH

BERSAMA TG ISMAIL, PENERBIT RANCANGAN SOLEHAH, TV HIJRAH

MESYUARAT J/KUASA KEPENDUDUKAN

MESYUARAT J/KUASA KEPENDUDUKAN

BERSAMA BEKAS WAKIL RAKYAT GALAS

BERSAMA BEKAS WAKIL RAKYAT GALAS

BERSAMA PEGAWAI TERTINGGI KESEDAR

BERSAMA PEGAWAI TERTINGGI KESEDAR

AHLI PANEL BENGKEL GENERASI KEDUA KESEDAR

AHLI PANEL BENGKEL GENERASI KEDUA KESEDAR

SEDANG MESYUARAT BULANAN UMNO BAHAGIAN

SEDANG MESYUARAT BULANAN UMNO BAHAGIAN

MAJLIS BERKHATAN DI HOSPITAL GUA MUSANG

MAJLIS BERKHATAN DI HOSPITAL GUA MUSANG

JAMUAN MAKAN TENGAHARI DI SURIA KLCC

JAMUAN MAKAN TENGAHARI DI SURIA KLCC

MAKAN TENGAHARI DI SURIA KLCC

MAKAN TENGAHARI DI SURIA KLCC

JAMUAN MAKAN TENGAHARI DI SURIA KLCC

JAMUAN MAKAN TENGAHARI DI SURIA KLCC

BANJIR YANG MELANDA KAMPUNGKU

BANJIR YANG MELANDA KAMPUNGKU

BERSAMA TEAM AMEKAW TV3

BERSAMA TEAM AMEKAW TV3

ANAK DAN MENANTUKU BERSAMA IBU TERSAYANG

ANAK DAN MENANTUKU BERSAMA IBU TERSAYANG

BERSAMA PENGARAH DIRESTORAN TEPI SUNGAI

BERSAMA PENGARAH DIRESTORAN TEPI SUNGAI

BERGAMBAR BERSAMA VESPA IDAMAN

BERGAMBAR BERSAMA VESPA IDAMAN

MENCUBA MENUNGGANG MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI

MENCUBA MENUNGGANG MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI

BERSAMA PENGARAH JABATAN KEBUDAYAAN KELANTAN

BERSAMA PENGARAH JABATAN KEBUDAYAAN KELANTAN

BELAJAR MENGGUNAKAN ALAT MUZIK

BELAJAR MENGGUNAKAN ALAT MUZIK

BERSAMA BESAN DIHARI PERNIKAHAN ANAKANDA

BERSAMA BESAN DIHARI PERNIKAHAN ANAKANDA

Alamat :

Padzluddin bin Hamid
Pejabat KEMAS Daerah Gua Musang
Tingkat 3, Bangunan Persekutuan
18300 Gua Musang
Kelantan

013 9394 292
FAX : 09 9122 551

padzluddinh@gmail.com
padzluddinh@umnokelantan.my

http://padzluddin.blogspot.com